Advertisement

Powered By Blogger

Tuesday, August 30, 2011

20 laporan polis dibuat..

SHAH ALAM 28 Ogos - Sebanyak 20 laporan polis dibuat bagi mendesak Mohamad Sabu disiasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung kenyataannya yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar tragedi Bukit Kepong dalam ceramahnya di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sebelas laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada sebelah pagi, tujuh laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6 di sini petang ini dan dua lagi dibuat di IPD Klang Selatan dekat sini.

Laporan di IPD Shah Alam dibuat oleh UMNO Bahagian Shah Alam yang diwakili Pergerakan Pemudanya diketuai Azhari Shaari dan disertai 11 badan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Persatuan Belia 19 Bersatu, Persatuan Belia Tujuh Utara dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Selatan.

Sementara itu, laporan di Balai Polis Seksyen 6 dibuat oleh tujuh anggota Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) diketuai Presidennya, Hamidzun Khairuddin dan laporan di IPD Klang Selatan dibuat oleh UMNO Bahagian Klang serta sebuah NGO.

Menurut Azhari, ceramah yang dibuat oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah membangkitkan sentimen kebencian dan perkauman terhadap pasukan polis yang telah berkorban nyawa dalam peristiwa berdarah tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya dan 11 NGO lain meminta polis menyiasat kenyataan Mohamad Sabu itu mengikut Akta Hasutan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya termasuk ISA.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab dan menghina oleh Mat Sabu itu.Kenyataan yang amat dangkal serta buta sejarah ini sangat keji dan hina di kala rakyat negara ini ingin menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 tahun," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidzun pula berkata, Mat Sabu telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menipu fakta sejarah dan memartabatkan perjuangan komunis.

"Saya berpendapat kenyataan Mat Sabu ini boleh menyebabkan rakyat keliru dan sangat marah. Sentimen menjadikan komunis sebagai hero boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat di negara ini.

"Ia juga boleh mengundang kacau bilau, huru-hara dan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini. Jadi saya berpendapat Mat Sabu telah melakukan kesalahan di bawah ISA, Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan undang-undang lain yang berkaitan," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertisement