Advertisement

Powered By Blogger

Tuesday, August 30, 2011

Sanggup berhenti kerja...

MODEN...pakaian renang Muslimah diperbuat daripada spandex lycra ini lebih ringan, mudah kering dan tidak berbulu.

SEMUANYA gara-gara dihalau pengawal keselamatan ketika mandi di kolam renang apabila tidak memenuhi kriteria dalam berpakaian. Malah, pengawal keselamatan itu memberitahu pakaian yang dipakainya berbulu dan akan menimbulkan masalah kepada orang lain.

“Oleh kerana saya dan anak-anak gemar berenang, ini membuatkan saya risau setiap kali beriadah. Apatah lagi anak-anak memerlukan perhatian ketika mandi di kolam renang dan di pantai. Untuk memakai pakaian renang sedia ada di pasaran ketika itu memang mustahil kerana tidak memenuhi syariat Islam.

Sibuk...sebagai isteri dan ibu, Nuraini bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Suatu hari saya menerima sepasang baju renang Muslimah hadiah daripada rakan kakak, seorang wanita Indonesia yang mengeluarkan pakaian renang Muslimah.
Pemberian ini amat bermakna dan sangat menggembirakan saya,” kata Pengarah Urusan Aktif Bestari Sdn Bhd, Nuraini Mohd Ariffin, 38, yang juga pengeluar pakaian renang Muslimah pertama di Malaysia.

Oleh kerana tertarik dengan pakaian keluaran wanita Indonesia itu, pada Jun 2006, Nuraini dan suaminya, Mohammad Zaini Zainuddin ke Jakarta, untuk berbincang mengenai usaha membawa pakaian ini ke pasaran Malaysia.

Pada peringkat awal, dia hanya memasarkan sepenuhnya pakaian mandi wanita, ini tetapi lama kelamaan, apabila mendapat perhatian, Nuraini semakin yakin untuk menghasilkan rekaan sendiri.

“Dengan penuh yakin ditambah dorongan suami, saya berhenti kerja di sebuah firma teknologi maklumat untuk memberi tumpuan pada perniagaan ini. Tambahan pula ketika ini di Malaysia memang tiada rekaan baju renang Muslimah dipasarkan dan ini tentunya memberi lebih peluang kepada saya,” katanya.

Menurut Nuraini, langkah pertama dilakukan ialah menjalankan kajian mengenai faktor cuaca serta ukuran tubuh wanita di Malaysia. Akhirnya lahirlah baju renang Muslimah daripada fabrik spandex lycra yang jauh lebih ringan dan tidak memeri. Ini secara tidak langsung menjadikan si pemakai selesa, tidak panas, tidak berbulu dan mudah kering.

“Saya menghasilkan rekaan berbentuk ukuran A dengan empat helai baju iaitu seluar, baju, tudung dan kemeja-T untuk perempuan, lelaki dan kanak-kanak. Apabila mendapat maklum balas saya membuat pengubahsuaian untuk setiap rekaan bagi memberi keselesaan kepada pelanggan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan fabrik spandex lycra membolehkan si pemakai terus pulang ke rumah kerana pakaian ini cepat kering, nampak feminin serta menutup aurat. Istimewanya bukan saja sesuai dibawa berenang, tetapi juga boleh digunakan
untuk aktiviti lain seperti bermain golf, yoga atau joging.

Bagi mengekalkan nilai eksklusifnya, Nuraini mengehadkan 20 pasang untuk setiap corak dan warna, selain memastikan rekaannya bertukar setiap antara tiga hingga enam bulan mengikut aliran fesyen semasa.

“Ketika awal-awal dulu saya mengeluarkan lebih banyak corak bermotif bunga-bungaan, tetapi kini lebih kepada polos kerana ada segelintir kolam renang terutama di luar negara, melarang penggunaan pakaian mandi bercorak. Saya sendiri pernah dihalau keluar kolam kerana mereka menyangkakan ia bukan pakaian renang,” jelasnya yang kerap mengikuti pertunjukan fesyen di Festival Fesyen Islam (IFF) antaranya di Singapura, Jakarta dan Dubai.

Koleksi pakaian mandi yang direka juga memenuhi cita rasa untuk semua usia serta ukuran badan. Kini mereka yang menghadapi masalah mendapatkan pakaian mandi berukuran besar boleh mendapatkannya di Aktif Bestari bermula dari saiz S sehingga 5XL.

“Saya faham sesetengah wanita berbadan besar tidak dapat berenang disebabkan gagal mencari padanan sesuai. Sebab itu kami menyediakan pakaian untuk semua ukuran, malah mereka boleh menempah mengikut ukuran badan dengan harga yang berbeza,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di TTDI, Shah Alam, Selangor.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini mengakui walaupun terpaksa menghadapi cabaran lantaran baju renang ditiru serta persaingan daripada segi harga yang lebih murah, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memenuhi tuntutan fardu kifayah.

“Dalam perniagaan di mana sekali pun ada cabarannya. Tambah pula apabila kita menjadi perintis dalam menghasilkan sesuatu rekaan. Saya yakin sekiranya kita berusaha tanpa jemu disertai keyakinan tinggi, tidak mustahil kejayaan akan diperoleh,” katanya yang setakat ini sudah menghasilkan 50 rekaan dengan pelbagai corak dan warna.

Wanita yang mempunyai empat anak iaitu Muhammad Haziq Fitri, 11, Nur Jazmina Aliah, 10, Nur Wardina Sofia, 7, dan Nur Izzah Zahirah, 3, mengakui walaupun terpaksa menguruskan dua tugas serentak iaitu sebagai pengurus, isteri dan ibu, kepuasan diperoleh tidak ternilai.

“Saya dapat melihat anak-anak membesar di depan mata kerana mempunyai jadual waktu yang tidak terbatas. Lebih penting perniagaan ini dapat memenuhi keperluan wanita Islam untuk berenang di tempat awam dengan selesa dan tenang.

“Ini juga adalah sebahagian daripada usaha saya untuk mendidik masyarakat supaya melihat setiap permasalahan itu ada jalan penyelesaian dan hikmah di sebaliknya,” katanya.

Dia juga menyimpan hasrat ingin memasarkan pakaian renang Muslimah ke pasar raya besar seluruh negara.

“Buat masa ini saya menumpukan perhatian dengan membekalkan baju renang ke sektor kerajaan, swasta dan menumpukan perhatian kepada orang perseorangan,” jelasnya yang mahu menjadikan produk jenama Active Attire dikenali bukan saja di pasaran tempatan, tetapi luar negara.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pakaian renang Muslimah, layari laman sesawang www.activeattire.com.my.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertisement