Advertisement

Powered By Blogger

Tuesday, August 30, 2011

Redup lebaran Siti...

DATUK SITI NURHALIZA menganggap musibah yang melanda dirinya pada Ramadan lalu mempunyai hikmah yang besar pada Syawal ini.

SEPARUH fasa Ramadan yang dilalui Datuk Siti Nurhaliza tahun ini telah diselaputi mendung yang tidak diduga hadir. Dalam kelam gemawan tersebut, Siti bagaimanapun dapat keluar bernafas menjelang dua minggu Ramadan terakhir. Semuanya berkat doa orang yang teraniaya sepertinya.

Seperti bagai ada batu besar yang menghempas kepala, terkejut bukan kepalang penyanyi kesayangan ramai ini apabila produk sulung miliknya yang begitu laris di pasaran, SimplySiti didakwa mengandungi unsur tidak halal iaitu berus yang digunakan didakwa diperbuat daripada bulu babi selain ia dikatakan tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Segera dia bertindak. Selain memikirkan soal bisnes yang terjejas dengan hebahan palsu tersebut, dia amat mementingkan isu haram yang memang menjadi perhatian utama buatnya sebelum produk tersebut dilahirkan. Kata Siti juga, dia tidak membuat bisnes untuk menipu, apatah lagi menganiaya pembeli terutama umat Islam hanya untuk mengaut keuntungan.

Mujur tindak balas segera yang dilakukan membuahkan hasil apabila produk tersebut segera disahkan halal. Lega dengan keputusan yang memihak kepadanya, Siti mengaku, ia adalah dugaan dan kemenangan terbesar buatnya sepanjang Ramadan lalu.

“Saya mengaku, sebaik berita tersebut disebarkan, ia memberi impak terhadap penjualan SimpySiti. Ia jatuh mendadak. Namun Alhamdulillah, berkat Ramadan, isu tersebut segera dimatikan. Pihak kami dan pihak Jakim kesal dengan apa yang berlaku namun ini adalah dugaan dan cabaran yang harus saya tempuhi sebagai orang berniaga.

“Alhamdulillah, ia juga memberi hikmah kepada kami kerana selepas kejadian tersebut, kami dan pihak yang terbabit menjadi lebih akrab dan lebih berhati-hati dalam banyak hal agar perkara yang sama tidak berulang lagi,” katanya yang turut memberitahu sedih saat mendengar ada pengguna yang membuang produk miliknya sedangkan realitinya SimplySiti adalah halal.

Meninggalkan dugaan tersebut, Siti seperti meraikan kemenangannya dengan menunaikan umrah pada 19 Ogos lalu dan pulang pada 28 Ogos untuk meraikan Syawal di tanah air.

Walau begitu sibuk sepanjang Ramadan yang lalu, namun, kata Siti, dia tidak dapat menahan perasaan untuk kembali ke tanah suci Mekah seperti tahun sebelumnya.

Bagi Siti, kekerapannya kembali menjadi tetamu Allah setiap kali Ramadan adalah bukti kerinduannya terhadap tanah suci itu. Katanya, Ramadan dirasa kurang lengkap jika dia terlepas peluang berpuasa dan beribadat di Mekah.

Memberitahu pertama kali menunaikan umrah pada tahun 1997 dia melalui dugaan yang agak mencabar, namun kini kembali ke Mekah umpama satu rutin wajib.

“Setiap kali Ramadan, saya memang akan pergi menunaikan umrah dan berpuasa di sana. Selain rindu akan suasanannya, saya juga mengejar pahala yang berlipat kali ganda dengan mengerjakan umrah pada bulan Ramadan,” katanya yang pergi menunaikan umrah bersama suaminya.

Bercakap mengenai sambutan lebaran, bukan sesuatu yang asing bagi Siti pulang ke kampung suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa di Kedah. Sejak berkahwin lebih lima tahun lalu, pulang ke Kedah adalah rutin wajib buatnya. Sebaik menikahi ahli perniagaan tersebut, Siti sedar bahawa dia telah memiliki dua keluarga besar yang harus diberi perhatian sama rata.

Jika sebelum berkahwin setiap tahun dia akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, Pahang, selepas berkahwin, rutin itu bertukar. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia melupai ibu dan keluarga serta sanak saudara yang berada di Kuala Lipis. Paling penting, sejak pemergian bapanya, Allahyarham Taruddin Ismail dua tahun lalu, dia tidak pernah terlepas menziarah kubur lelaki kesayangannya itu.

Ujarnya: “Walaupun saya pulang ke Kedah tahun ini, saya masih menjalankan tanggungjawab buat ibu dan keluarga dengan membuat persediaan dan kelengkapan raya buat mereka. Adat orang yang sudah berumah tangga, saya juga kini mempunyai sebuah keluarga besar selepas berkahwin dan mempunyai dua keluarga untuk diraikan.

“Saya akan pulang ke Lipis mungkin pada hari raya ketiga selepas meraikan Aidilfitri di Kedah,” katanya.

Justeru, pada Aidilfitri pertama dan kedua ini, Siti menyambut lebaran di kampung suaminya dan paling penting, dia dan suami dapat meraikan tetamu dengan mengadakan kenduri di masjib milik mereka, Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Sungai Petani, Kedah.

Kenduri tersebut diadakan bermula pukul 3 hingga 6 petang semalam kerana menurut Siti: “Saya mahu orang ramai dapat hadir ke kenduri ini, sebab itu saya buat ia pada sebelah petang kerana jika saya lakukan pada sebelah pagi sejurus solat, mungkin ramai yang mahu pulang ke rumah untuk beraya dengan keluarga terlebih dahulu.”

Sebaik meraikan lebaran, penyanyi yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelima perkahwinan pada 21 Ogos lalu itu akan kembali sibuk. Dia berasa seperti baru bernikah semalam dengan belahan jiwanya itu walhal sudah lima tahun melayari pahit manis bersama sambil berdoa agar mampu hidup rukun dan kekal bersama suaminya.

“Segala cabaran yang bakal mendatang kelak harus kami lalui dengan sabar dan penuh keimanan. Saya berdoa agar rumah tangga saya aman,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertisement